Nota editor: Catatan ini ditulis oleh Muhammad Shah Ahmad Nor. Ini adalah ringkasan kepada slot 1 yang dibincangkan dalam BMH siri ke-5.

Anak buah yang menangis
“Wekk…wekk…nak…nak….” Hazim yang baru berusia 2 tahun menangis teresak-esak. Entah apa yang dia mahu, aku tidak pasti.

Seminit…

5 minit….

Hah ni dah melampau, ini sudah sampai tahap mencabar kesabaranku yang sedang seronok membaca permulaan novel Ayat-ayat Cinta karangan EL-Shirazy.

“Eh, Hazim! Diamlah. Nak apa? Kalau bising lagi, uncle pok (pukul) baru tahu,” kataku dengan muka menyinga. Apa lagi, bukan bertambah diam, semakin kuat Hazim menangis.

Pok! Pok! Beberapa das pukulan khas untuk kanak-kanak aku halakan pada betis Hazim.

“Wek….Wekk” bertambah kuat. Aku kebingungan dan aku masuk ke dalam bilikku, nanti biarlah mama aku akan menguruskannya.

Di dalam bilik aku kembali memikirkan tindakan ku pada Hazim sebentar tadi…aku menyesali perbuatan ku…

Aku menyesal kerana telah melakukan tindakan yang sia-sia. Hazim baru sahaja 2 tahun, cakap pun tidak pandai, tapi aku pula memaksanya untuk bercakap dan berhenti menangis. Sungguh tidak wajar tindakan aku sebentar tadi, rasanya ingin sahaja aku memeluk Hazim untuk memujuknya.

Marah yang sia-sia
Sekiranya anda adalah kakak atau abang kepada “aku” dalam kisah di atas, apakah tindakan anda kepada “aku” yang melakukan perkara yang sia-sia? Sekalipun kita mungkin sekadar mendiamkan diri, pastinya hati kita terdetik, kenapalah kurang pandainya “aku”, takkanlah diharapkan budak seusia 2 tahun untuk memahami pertuturan orang dewasa.

Ya, kita berasa tidak berpuas hati kepada aku kerana ‘aku’ telah melakukan perkara yang sia-sia, marah kepada sesuatu yang tidak akan berubah. Tetapi, dalam kejengkelan kita kepada ‘aku’, mungkin kita juga secara tidak sedar sering mengamalkan sikap tersebut, marah yang sia-sia.

Traffic jam, hujan lebat, suhu mencecah 40 darjah dan sebagainya adalah beberapa perkara lazim yang seringkali menyebabkan ‘mood’ atau emosi kita tidak stabil.

“Tengah panas ni, kau janganlah buat hal pula!”

“%^%E$ Traffic jam pula”

Marahkan traffic jam, marahkan cuaca dan suhu, adakah akan berubah keadaan itu? Tidak sekali-kali tidak. Namun, itulah sebahagian daripada kita sering lakukan. Marahkan yang sia-sia.

Bagaimana seharusnya?
Saya tidak menafikan bahawa emosi manusia akan terpengaruh dengan unsur-unsur luar yang di luar kawalan kita. Tetapi manusia, bukanlah seperti tindak balas kimia, sekiranya menerima rangsangan, maka akan terjadinya reaksi. Tetapi manusia diberi kurnia akal yang waras untuk mengendalikan reaksi yang relevan kepada sesuatu yang terjadi kepada kita.

Sebagai contoh, sekiranya bas 99C yang kita naiki, terperangkap di dalam jam, tambahan pula kita sudah lewat ke kelas. Suasana yang pastinya merangsang emosi untuk berasa marah. Sekiranya kita ingin menjadi seperti bahan kimia, maka zahirkanlah kemarahan kita. Sumpah seranahlah pada para kenderaan yang menyesak di jalan raya. Tampilkan muka yang masam ketika berjumpa dengan rakan-rakan. Semangat belajar menurun kerana kesesakan.

Tetapi sekiranya kita ingin menjadi manusia yang proaktif, tapislah emosi marah itu dengan tindakan yang relevan. Masa di dalam bas, mungkin boleh kita gunakan untuk membaca nota-nota kuliah yang telah pun kita terlewat menghadirinya. Sekurang-kurangnya tidaklah kita membuang masa di dalam bas menanti destinasi, tambahan pula kita telah manfaatkan masa untuk membuat pra baca nota kuliah. Tidakkah ia menguntungkan kita?

Jadilah proaktif bukan reaktif
Bermula daripada anda, pilihlah antara proaktif dan reaktif. Begitulah tajuk perbincangan dalam Bicara Minda dan Hati siri ke-5 yang telah berjaya dilaksanakan pada 29hb Mac yang lalu. Perbincangan di atas, bolehlah saya kategorikan sebagai ringkasan kepada diskusi saya bersama siswa dan siswi tempoh hari.

Sebagai pengakhiran, suka untuk saya kongsikan beberapa ciri orang yang proaktif yang mampu saya garapkan daripada beberapa buku yang dikaji:
1. Fokus kepada apa yang mampu kita ubah (cirlce of influence) daripada kepada sesuatu yang tidak dapat kita ubah (circle of concern).
2. Mengambil inisiatif, menjadi sebahagian daripada penyelesaian kepada sesebuah organisasi, bukan sebagai beban.
3. Ada ‘filter’ atau butang ‘pause’ sebelum bertindak. Rujuk kisah di atas.
4. Mengambil tanggungjawab lebih daripada menyalahkan mana-mana pihak yang lain
5. Perhatikan bahasa yang kita gunakan. Banyakkan penggunaaan saya mahu (I want or I chose) daripada menggunakan saya terpaksa ( I have to..).

Bermula daripada anda, selamat berjuang!

Rujukan:
Stephen R Covey, 7 Habits of Highly Effective People, The Business Library, 1996
Sean Covey, 7 Habits of Highly Effective Teens, Franklin Covey Co. 1998
Kuliah 7 Habits daripada Hasrizal Abd Jamil (saifulislam.com)
Saudara Bukhari (memberikan banyak sumbangan idea)

<!–

–>