Ada Apa dengan Sepinggan Nasi?

19 08 2007

Oleh: Muhammad Shah

Konsep Perkongsian

Penyampai peringatan atau pengisian input rohani dan minda bukanlah manusia yang sempurna, mungkin juga para pendengar mereka adalah lebih baik daripada mereka. Namun hal itu, bukanlah penghalang selagi mana si penyampai menganalogikan dirinya ibarat tangan kanan yang kotor memerlukan tangan kiri yang terdiri daripada para pendengar di bawah aliran ilmu.

Konsep Syukur

Hampir setiap kuliah, pengisian atau namakan apa sahaja, biasanya kita diseru dengan kalimah, mengajak kita bersyukur kepada Allah. Ya, namun disebabkan ia telah menjadi seolah-olah suatu “rukun” di dalam setiap kuliah/ceramah, maka ia kini dianggap hanyalah perkara ritual, iaitu ia hanya diungkapkan tanpa penghayatan daripada para pendengar.

“Ya, syukur.. ya, syukur.. cam minggu lepas…”

Kisah seorang peniaga boleh diambil pengajaran. Seorang peniaga hanya akan bergembira sekiranya mendapat hasil di akhir bulan, melebihi daripada modalnya.

Apa modal kita hidup di bumi ini?

Tidak pernah diungkap dalam mana-mana kitab sirah mahupun hadith-hadith tentang peristiwa Malaikat turun menemui kita untuk meminta “bil” oksigen yang kita gunakan. Ya, tidak pernah dan hal ini membuktikan bahawa modal kita untuk hidup, adalah FREE OF CHARGE. Tidakkah terdetik di hati ini untuk bersyukur pada Allah? Dengan rahmat Allah, kita dapat menghirup udara, nikmat penglihatan yang kini kita sedang gunakan untuk membaca artikel ini… Oh Tuhan Ar-Rahman, tidak terhitung akan nikmat-MU..

Ya, kesemuanya itu adalah nikmat. Tapi adakah nikmat udara, penglihatan dapat menjamin akan keselamatan di Hari Akan Datang? (baca: akhirat) Ya, ia mampu memberikan kemudahan di dunia ini, tapi ia sekali-kali tidak menjamin akan keselamatan di Akhirat sana kerana Allah itu Maha Adil. Allah yang telah menjadikan sebahagian daripada manusia itu buta, bisu dan sebagainya yang mana manusia tidak ada kuasa untuk mengubahnya…dan manusia tidak akan dihukum disebabkan hal itu.


Konsep Cemerlang

Pastinya terdetik di hati setiap insan, mereka menginginkan kecermelangan dan saya merasakan hatta seorang penagih dadah sekalipun mereka menginginkan kecermelangan. Kecermelangan boleh didefinisikan sebagai lebih baik (ruj: Website DBP)

Syarat kecermelangan itu ada 3:

  1. Ilmu
  2. kemahiran
  3. Sikap

Di antara ketiga-tiga ini, yang paling utama adalah SIKAP. Kenapa? Untuk memudahkan kefahaman, andai seseorang ingin menjadi sahabat yang cemerlang, hanya SIKAP yang menjadi penentu. Anda boleh menjadi seorang yang paling alim di muka bumi, tapi anda pastinya dibenci oleh lawan mahupun kawan andai anda tidak mempunyai sikap yang baik. Mulut yang celupar, panas baran dan sebagainya cukuplah ia menyebabkan orang benci pada anda.

“People don’t care how much you know until they know how much you care…”

Kajian oleh seorang Professor daripada Yale University juga telah membuktikan hal ini apabila didapati kejayaan graduan dari Harvard Business School, 7% bergantung pada ilmu dan kemahiran dan 93% adalah bergantung kepada SIKAP.


Mengubah Paradigma?

Maksud paradigma telah dibahaskan secara mendalam oleh pelbagai pihak termasuk ahli falsafah. Namun untuk memudahkan kefahaman, paradigma boleh dianggap sebagai Cara kita melihat pada sesuatu.

What you see is what you get…

Sebagai contoh, melawati pantai Glenelg yang indah. Sebagai contoh, ada 3 golongan yang datang ke pantai tersebut:

  1. Pelancong. Mereka hadir untuk merehatkan minda dan berehat. Maka kerehatan yang bakal mereka perolehi.
  2. Kaki Crabbing. Mereka hadir untuk menangkap ketam. Maka Insyaallah ketam akan mereka perolehi.
  3. Usahawan. Mereka hadir untuk mencari ruang yang sesuai untuk mereka berniaga. Kemungkinan besar, itulah yang mereka akan perolehi.

Seruan untuk membetulkan cara pandangan, bukanlah semata-mata seruan daripada para motivator. Tapi realitinya ia juga adalah seruan di dalam Quran. Berapa banyak ayat yang seolah-oleh bertanya kepada manusia, “tidakkah kamu melihat?”, kritikan buat manusia yang membutakan diri, “Apakah kamu tidak melihat??”

Jenis-jenis memandang ada 4:

  1. Pandangan mata
  2. Pandangan akal
  3. Pandangan nafsu
  4. Pandangan mata hati

“Maka hendaklah manusia itu memperhatikan makanannya.” (80:24)

Bagaimana ingin memandang dengan mata hati? Sebagai contoh, kita ingin mengambil kaedah yang digunakan oleh seorang ulama, Abd Majid Aziz Az-Zindani di dalam bukunya, Kitab Tauhid ketika membicarakan perihal ayat di atas. Menurut beliau, daripada makanan, beliau boleh melihat 9 sifat Allah padanya. Sebagai contoh pada makanan, beliau dapat melihat nama Allah, Ar-Razzaq. (Maha pemberi Rezeki)

Ada apa pada sepinggan nasi?

Ya, ada apa pada sepinggan nasi AUD 5.60 di Knoodle? Cuba renungkan, berapa orangkah yang terlibat dalam penghasilan sepinggan nasi kita? 1,2 atau 5 orang? Benarkah?

Cuba kita selusuri proses menjadikan nasi daripada sawah lagi. Di padang sawah, berapa ramaikah yang terlibat dalam pertanian? Berapa ekor kerbaukah yang terlibat? Daripada sawah, dibawa kepada kilang untuk diproses. Berapa ramaikah yang terlibat? Siapa pula yang membina kilang tersebut? Dan sehingga kepada seorang tukang masak dan akhirnya sampailah kita pada sepinggan nasi.

Duit tidak mampu membeli apa sahaja yang kita mahu. Daripada contoh di atas, kita dapat bersetuju untuk mengatakan fitrah manusia ini memerlukan kepada masyarakat sama dia mahu atau tidak mahu, suka atau tidak suka. Lahirnya kita disambut, matipun dihantar. Kenapa tiba-tiba di pertengahan kita boleh bersikap angkuh bahawa aku adalah self-sufficient?

Itulah yang membezakan kita sebagai yang dicipta (makhluk) dengan pencipta (Khaliq). Hanya DIA yang self sufficient dan kita yang memerlukan kepada Allah…

Study Group, manifestasi daripada Fitrah ini.

Di kala peperiksaan akhir tahun yang semakin menghampiri, kebanyakan daripada kita memilih untuk membentuk study group dan sebagainya. Namun ada juga yang memilih untuk mengulangkaji secara individu kerana merasakan study group tidak membantunya.

Bagaimana kita memandang study group, akan menentukan sebahagian besar hasilnya. Adakah kita memandangnya sebagai medan untuk MENERIMA semata atapun medan untuk kita MEMBERI? Belajarlah berseorangan andai itu adalah pilihan, tapi fikirkan, ilmu yang kuperolehi ini kepada siapa harus aku kongsikan. Hanya penanda kertas? Ataupun kepada rakan-rakan study group? Tepuklah dada tanyalah iman.

Kejayaan itu lebih bermakna andai ia dapat diraikan bersama rakan-rakan tersayang. Kejayaan yang sebenar bukanlah apabila kita berjaya mencapai HD berseorangan, tapi apabila kita dapat membawa rakan-rakan bersama dengan kita untuk mecapai HD.

Erti Hidup Pada Memberi.

Rujukan:

Ceramah Introduction kepada 7 Habits of Highly Effective Muslim by Ust Hasrizal

Abdul Majid Az-Zindani, Kitab Tauhid, Pustaka Salam

Website DBP

Website Dictionary

Website Sunrice

 








Follow

Get every new post delivered to your Inbox.